PENJELASAN :
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) memperjelaskan dakwaan kononnya pihak LHDNM dan pegawainya telah mengeluarkan analisa berhubung pengurusan hasil negara, sepertimana yang ditularkan di media sosial.
Sumber gambar : Facebook
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM),
“Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah mengesan satu artikel berkenaan dengan pengurusan hasil negara yang kononnya dari Group LHDN menjadi tular semula melalui aplikasi Whatsapp dan platform media sosial. Sebelum ini artikel yang sama turut menjadikan tajuk “Analisa Bajet 2017” yang turut mengaitkan LHDNM sebagai sumber penulisannya.
Menurut rekod pihak LHDNM, artikel berkenaan telah ditularkan secara bermusim sejak tahun 2015 lagi dan beberapa penafian telah dikeluarkan oleh LHDNM sebelum ini kerana ia secara sengaja mengaitkan nama LHDNM.
Justeru, LHDNM dengan ini sekali lagi ingin menafikan bahawa artikel tersebut dikeluarkan oleh LHDNM atau bersumberkan mana-mana pegawai LHDNM. LHDNM berpandangan artikel tersebut dikaitkan dengan LHDNM secara tidak bertanggungjawab dan ditularkan semata-mata bertujuan untuk menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat dengan analisa ekonomi yang tidak tepat.”