SEBENARNYA:
Menurut Kenyataan Jabatan Penjara Malaysia:
Jabatan Penjara Malaysia telah meneliti kenyataan melalui wawancara yang dibuat oleh ‘Abang Mat’ yang mengaku sebagai bekas banduan di Penjara Sungai Buloh melalui sebuah video di akaun Youtube “Cili Kasi Taruk” pada Tarikh 3 Disember 2023 berdurasi selama 1 Jam 20 minit.
Berasaskan penelitian terhadap rakaman berkenaan, Jabatan Penjara menegaskan kenyataan tersebut adalah tidak benar sama sekali serta berniat jahat.
Penjelasan dari Jabatan Penjara terhadap setiap isu berkaitan penjara adalah seperti berikut:
Tiada bilik untuk penempatan banduan VIP di Penjara Sungai Buloh dan mana-mana penjara lain. DSAI telah ditempatkan di klinik Penjara Sungai Buloh di atas pengesyoran oleh pegawai perubatan kerana masalah kesihatan yang dialaminya.
Klinik Penjara Sungai Buloh turut menempatkan banduan lain yang memerlukan rawatan dan pemantauan kesihatan yang lanjut. Hampir keseluruhan banduan yang ditempatkan di klinik penjara berkenaan adalah banduan warganegara Malaysia dan bukan hanya banduan warga negara asing.
Segala kemudahan yang disediakan di klinik penjara adalah bagi kepentingan kesihatan banduan dan dengan pengesyoran pegawai perubatan iaitu sepertimana dinyatakan dalam Peraturan 234 Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Tiada sebarang tirai dipasang untuk melindungi bilik dasar. Seperti mana bilik-bilik banduan lain, tirai tidak dipasang bagi membolehkan kawalan dan pemerhatian oleh pegawai penjara dapat dilaksanakan tanpa halangan.
Bilik penempatan banduan di klinik penjara termasuklah bilik DSAI tidak boleh diakses oleh mana-mana banduan lain. Seterusnya bilik tersebut turut dikawal oleh pegawai penjara yang dikhaskan untuk kawalan DSAI sahaja dan SOP yang disediakan tidak membolehkan banduan lain berada di situ.
Jabatan sekali lagi menegaskan bahawa kenyataan tersebut amatlah tidak benar dan pihak yang terlibat wajar disiasat.
SUMBER:
Facebook Rasmi Jabatan Penjara Malaysia
Twitter Rasmi Jabatan Penjara Malaysia