
Menurut Kementerian Kewangan (MOF):
Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan bahawa dakwaan mengenai permohonan umum bagi tambahan had subsidi BUDI MADANI RON95 (BUD195) adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.
Walaupun fungsi ini diwujudkan pada awal pelaksanaan BUDI95, ia bukan bertujuan untuk permohonan tambahan atas keperluan peribadi, sebaliknya bagi kes tertentu dengan keperluan operasi yang jelas dan disahkan, seperti pemandu e-hailing dan pemilik bot, tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan.
Fungsi permohonan tambahan dalam portal BUDI95 telah disalah tafsir sebagai ruang untuk memohon peningkatan had kelayakan secara bebas. Susulan itu, butang permohonan ini telah dinyahfungsikan.
Had kelayakan BUD195 sebanyak 200 liter sebulan kekal berkuat kuasa bagi memastikan subsidi disasarkan kepada majoriti rakyat serta bekalan kekal stabil. Langkah sementara ini diambil berikutan tekanan pasaran tenaga global yang berterusan, yang meningkatkan kos subsidi dan memerlukan pengurusan lebih berhemah.
Data menunjukkan had 200 liter mencukupi bagi 90% pengguna BUDI95. Pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, pengguna boleh membeli RON95 sehingga RM398 sebulan, dengan Kerajaan menanggung sekitar RM500 subsidi bagi setiap penerima.
Kerajaan akan terus melindungi rakyat, memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung ketirisan, serta memantau rapi pasaran tenaga global dan bersedia membuat penyesuaian sewajarnya.
SUMBER:






