PENJELASAN:
Kementerian Sumber Manusia (MOHR) memperjelaskan laporan bahawa majikan terutamanya sektor swasta perlu memberi kelepasan kepada pekerja untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot dalam satu kenyataan berkata, majikan sektor swasta diingatkan supaya membenarkan pekerja mereka menunaikan hak sebagai warganegara untuk mengundi pada PRU14 yang akan diadakan pada 9 Mei 2018. Hak ini diperuntukkan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
MOHR meminta agar majikan sektor swasta mengambil langkah-langkah seperti memberi ‘time-off’ kepada pekerja yang mengundi di tempat pengundian berdekatan atau memberi hari kelepasan kepada pekerja yang perlu mengundi di tempat pengundian yang jauh.
Majikan tidak dibenarkan mengenakan penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja bagi tujuan tersebut. Mana-mana majikan yang tidak mematuhi peruntukan dibawah Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun jika sabit kesalahan.
SUMBER:
Facebook Kementerian Sumber Manusia