
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN):
Kerajaan komited untuk meneruskan program penyaluran subsidi diesel secara bersasar sungguhpun berlaku lonjakan harga diesel disebabkan krisis tenaga global susulan tercetusnya konflik Asia Barat. Ini termasuk subsidi diesel di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang meliputi sektor pengangkutan darat awam dan sektor pengangkutan darat barangan.
Penyaluran subsidi diesel secara bersasar untuk kedua-dua sektor ini dilaksanakan melalui Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang melibatkan penggunaan fleet card. Di bawah SKDS, sebanyak 33 jenis kenderaan disenaraikan layak menerima diesel bersubsidi meliputi 10 jenis kenderaan pengangkutan darat awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan darat barangan.
Syarikat-syarikat pemohon yang diluluskan penyertaan di bawah SKDS akan mendapatkan fleet card daripada syarikat-syarikat minyak. Kenderaan-kenderaan yang didaftarkan boleh memanfaatkan subsidi diesel pada kadar RM1.88 seliter bagi kenderaan pengangkutan darat awam dan RM2.15 seliter bagi kenderaan pengangkutan darat barangan. Sejak pelaksanaan SKDS bermula 10 Jun 2024 sehingga 30 Mac 2026, sebanyak 150,755 syarikat dan entiti berkelayakan telah mendapat kelulusan penyertaan dalam SKDS yang melibatkan sejumlah 368,911 kenderaan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 93 peratus merupakan kenderaan pengangkutan darat barangan dan 7 peratus kenderaan pengangkutan darat awam.
Sepanjang tahun 2025, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM3.45 bilion bagi pelaksanaan SKDS meliputi RM3.1 bilion untuk sektor pengangkutan darat barangan dan RM344.05 juta untuk sektor pengangkutan darat awam. Jumlah ini tidak termasuk program subsidi diesel lain seperti BUDI Agri-Komoditi, BUDI Individu dan subsidi diesel nelayan.
Dianggarkan pelaksanaan SKDS bagi tahun 2026 akan melibatkan implikasi lonjakan tinggi perbelanjaan peruntukan susulan kenaikan harga diesel di pasaran global. Sebagai contoh, pada 26 Februari 2026, harga diesel dunia adalah AS$93 setong berbanding AS$239 setong pada 31 Mac 2026 yang melibatkan lonjakan harga mencecah 158 peratus. Mengikut unjuran berdasarkan trend kenaikan harga diesel semasa, jumlah keperluan peruntukan subsidi diesel bagi pelaksanaan SKDS ialah berjumlah RM2.2 bilion sebulan berbanding jumlah RM3.45 bilion setahun yang telah dibelanjakan pada tahun 2025.
Pada masa yang sama, KPDN akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan SKDS dilaksanakan secara telus, berintegriti serta bebas daripada sebarang ketirisan atau penyalahgunaan. Kerajaan juga akan terus bekerjasama rapat dengan semua pemegang taruh industri bagi menambah baik mekanisme pelaksanaan dari semasa ke semasa.
KPDN menyeru semua pihak industri yang layak tetapi masih belum memohon kemudahan subsidi di bawah SKDS untuk segera berbuat demikian melalui saluran rasmi yang disediakan. Kerajaan kekal komited memastikan dasar penyasaran subsidi dilaksanakan secara seimbang, inklusif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negara.
SUMBER:






