
Menurut kenyataan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR):
Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan diskaun tol 50% daripada kadar tol biasa selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 Disember 2025 kepada para pengguna kenderaan persendirian bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas yang akan disambut pada 25 Disember 2025.
Diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol yang terlibat berikutan pemberian diskaun tol 50% sempena perayaan Hari Krismas 2025 ini.
Pemberian diskaun tol 50% ini diharap dapat meringankan sebahagian dari beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga sempena sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah. Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat semua peringkat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.
Pemilihan tarikh ini juga adalah sebahagian dari inisiatif penyuraian trafik musim perayaan dan cuti sekolah terutama pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian lebuh raya di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuh raya.
KKR berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya melalui apps TuJu Highway Navigation App LLM dan aplikasi MyPLUS-TTA untuk perjalanan yang selesa dan lancar. Di samping itu, pengguna lebuh raya juga digalakkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan serta perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya.
SUMBER:
Facebook Rasmi KKR






