
Menurut kenyataan media Kementerian Kewangan (MOF):
Mulai 21 Ogos 2025, seramai 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia boleh menyemak kelayakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Portal Rasmi SARA, https://sara.gov.my. Penerima juga boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) dan maklumat lanjut seperti senarai kedai mengikut bandar dan panduan membeli barangan SARA di portal berkenaan.
Seperti yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, semasa Ucapan Penghargaan Kepada Rakyat bulan Julai 2025, Bantuan Penghargaan SARA sebanyak RM100 ini akan disalurkan ke dalam MyKad penerima mulai 31 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan, dan ia boleh dimanfaatkan sehingga 31 Disember 2025.
Setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang lahir pada tahun 2007 dan sebelum akan menerima bantuan ini, termasuk penerima SARA sedia ada.
Penerima juga boleh memilih untuk menggunakan bantuan ini dengan membeli barangan keperluan asas dan menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan sebagai contoh, pembelian barangan asas sebagai derma kepada NGO, tempat ibadat dan sebagainya.
Secara kolektif, sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit Penghargaan SARA yang lebih tinggi. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM400.
Tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat memandangkan kelayakan untuk Penghargaan SARA adalah secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang tipu helah atau scammer, memandangkan bantuan Penghargaan SARA akan disalurkan secara langsung kepada MyKad penerima.
Bantuan Penghargaan SARA ini boleh dibelanjakan di lebih 7,300 premis runcit yang berdaftar dan akan bertambah dari semasa ke semasa. Penerima boleh membeli lebih 100,000 barangan keperluan dalam 14 kategori. Ini termasuk makanan asas seperti beras dan telur, kebersihan rumah, ubat-ubatan, keperluan sekolah dan kebersihan diri.






