Makluman: Inisiatif Berkaitan Penyasaran Subsidi RON95 & SARA Kepada Seluruh Rakyat Dewasa

TULAR:
137

Menurut Kenyataan Media Kementerian Kewangan (MOF):

Seperti diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika Ucapan Penghargaan untuk Rakyat pada 23 Julai 2025, Kerajaan MADANI akan melaksanakan langkah segera untuk menangani beban kos sara hidup rakyat pada tahun ini.

Penyarasan Subsidi RON95
“Kerajaan kekal dengan perancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perincian bakal diumumkan menjelang akhir September 2025. Kerajaan komited menyasarkan perbelanjaan subsidi negara dengan rakyat biasa kekal menikmati subsidi sementara menangani ketirisan kepada mereka yang tidak layak,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan, Kerajaan akan menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter khusus untuk rakyat Malaysia sementara warganegara asing perlu membayar pada harga pasaran tanpa subsidi.

Ini memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.

SARA untuk semua rakyat dewasa Malaysia

Selain itu, Kerajaan MADANI juga akan menyalurkan RM100 melalui MyKad secara one-off kepada setiap individu rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas mulai 31 Ogos 2025 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diterajui oleh Kementerian Kewangan. Ini merupakan julung kalinya bantuan tunai disalurkan kepada seluruh rakyat dewasa.

Mulai 31 Ogos 2025, setiap individu rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan menerima RM100 secara one-off menggunakan MyKad di bawah program SARA. Dengan ini, seramai 22 juta rakyat Malaysia layak menerima pengkreditan ini secara individu. Langkah ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion.

Secara kolektif, sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit SARA yang lebih tinggi. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM400-dan bukannya hanya RM100.

Kredit SARA boleh dibelanjakan di lebih 4,100 premis runcit melibatkan lebih 90,000 barangan keperluan dalam 14 kategori, antaranya beras, telur, kebersihan rumah, ubat-ubatan dan keperluan sekolah.

Kredit RM100 ini akan sah digunakan sehingga tarikh luputnya, 31 Disember 2025. Rentetan itu, baki yang tidak dibelanjakan akan diagihkan semula kepada golongan rentan melalui program yang diputuskan kelak.

SARA merupakan program pelengkap kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang menyalurkan kredit bulanan khusus untuk pembelian barangan asas. Inisiatif ini digagaskan oleh Kerajaan MADANI dan diperkenalkan menerusi Belanjawan MADANI pertama pada 2023, serta kini memanfaatkan 5.4 juta penerima aktif.

Dengan pelaksanaan inisiatif one-off ini, jumlah keseluruhan peruntukan di bawah program STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion bagi tahun 2025.

Kedua-dua inisiatif ini merupakan tanda penghargaan Kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang terus bersama mendukung reformasi fiskal negara. la juga mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mengagihkan semula kekayaan negara yang semakin berkembang hasil daripada keberanian melaksanakan langkah-langkah pembaharuan fiskal dan pengurusan ekonomi yang lebih cekap, berlandaskan hala tuju yang dipeta dalam kerangka Ekonomi MADANI.

SUMBER:

Facebook Rasmi MOF

X Rasmi MOF

Instagram Rasmi MOF


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI