
Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES):
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menasihatkan orang ramai supaya tidak panik susulan gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 dengan kedalaman 678 km yang berlaku di Perairan Kota Kinabalu, Sabah pada jam 12.57 pagi tadi. Maklumat yang diterima sehingga kini menunjukkan impak atau kesan kejadian adalah minimal terhadap negara.
Berdasarkan analisis sistem peta gegaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), intensiti gegaran hanya berada pada skala lemah merangkumi seluruh Sabah dan utara Sarawak. Walaupun gegarannya boleh dirasai sehingga ke Sarawak dan Semenanjung Malaysia kerana kedalamannya di Zon Mantel, kesannya di permukaan bumi adalah lemah dan risiko kerosakan bangunan secara amnya adalah rendah.
NRES turut menegaskan bahawa tiada risiko berlakunya tsunami memandangkan kedudukan gempa yang terlalu dalam, sekaligus tidak menyebabkan gangguan atau anjakan besar pada dasar laut. Oleh itu, penduduk di pesisir pantai tidak perlu bimbang tentang ancaman tsunami buat masa ini.
Kejadian ini juga berbeza dengan gempa Ranau 2015 yang bersifat “cetek”, di mana gempa kali ini merupakanproses geologi semula jadi jauh di bawah kerak bumi akibat pergerakan plat lautan.
Secara amnya, risiko kerosakan bangunan adalah rendah. Walau bagaimanapun, gegaran mungkin lebih dirasai di kawasan tanah lembut. Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kod bangunan tahan gempa terus diperkukuh demi keselamatan semua..
Saya ingin menegaskan bahawa keadaan adalah terkawal. Fenomena ini membuktikan bumi Sabah memang aktif secara geologi, namun kejadian pagi tadi tidak membawa ancaman besar kepada keselamatan awam.
NRES melalui agensi di bawahnya sentiasa memperkukuh keberkesanan Sistem Amaran Awal (Early Warning System EWS) bencana berkaitan cuaca, gempa bumi dan tsunami bagi memastikan makluman ancaman bencana dapat disampaikan secara pantas, tepat dan menyeluruh.
Pihak JMG kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kod bangunan tahan gempa terus diperkukuh demi keselamatan semua. Keadaan semasa adalah terkawal dan fenomena ini tidak membawa ancaman besar kepada keselamatan awam.
MET Malaysia akan terus memantau sekiranya terdapat sebarang kejadian gempa susulan dan memaklumkan perkembangan terkini jika terdapat aktiviti seismik yang dikesan. Rakyat dimohon agar tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran kerana pihak JMG, MET Malaysia, dan NADMA sentiasa memantau keadaan 24 jam sehari.
SUMBER:






