Makluman: Pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan Di Semenanjung

TULAR:
4

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri:

Operasi ini memberi fokus kepada 11 empangan utama yang dalam kategori waspada, amaran dan kritikal melibatkan tiga (3) negeri di utara iaitu Perak, Kedah dan Perlis, serta satu (1) kawasan di selatan Semenanjung iaitu negeri Johor bermula 6 hingga 8 April 2026.

Empat (4) siri OPA akan bertumpu di Empangan Timah Tasoh (Perlis); Empangan Ahning, Pedu dan Muda (Kedah); Empangan Temenggor dan Bukit Merah (Perak); Dan Empangan Lebam, Upper Layang, Lower Layang, Gunung Pulai dan Machap (Johor).

Pelaksanaan OPA adalah salah satu langkah proaktif bagi meningkatkan taburan hujan susulan cuaca panas yang melanda negara ketika ini setelah beberapa aspek teknikal dan keadaan atmosfera dikenalpasti menunjukkan ciri-ciri yang sesuai.

Ini termasuk pembentukan awan yang mencukupi, sokongan arah pergerakan angin, serta tahap kestabilan udara yang dapat menggalakkan perkembangan awan. Selain itu, paras kelembapan yang tinggi serta potensi awan kumulus menara terbentuk dan berkembang turut diambil kira supaya keberkesanan operasi dapat menghasilkan hujan di kawasan sasaran.

Dalam operasi kali ini, pasukan teknikal MET Malaysia menggunakan sebanyak 200 kilogram garam (natrium klorida) yang dilarutkan dalam 1,500 liter air bagi satu tangki. Empat tangki bancuhan air garam tersebut dimasukkan ke dalam pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia dan perlu diterbangkan pada ketinggian antara 5,000 hingga 9,000 kaki bagi membuat semburan air garam ke dalam awan kumulus menara yang berkumpul di dalam kawasan yang disasarkan.

Air garam ini membantu mempercepat pembentukan titisan air sehingga menjadi hujan. Pada kebiasaannya hujan akan turun di antara 30 hingga 60 minit selepas pembenihan awan dilakukan.

Keberkesanan operasi ini dipantau secara berterusan melalui analisis data cuaca dan jumlah taburan hujan oleh pihak MET Malaysia.

Penghasilan hujan daripada OPA ini bukan sahaja dapat meredakan suhu panas, malah turut dapat membantu meningkatkan paras air empangan. Penyusutan air di empangan bukan sahaja memberi kesan kepada sumber bekalan air domestik, tetapi juga kepada sektor pertanian khususnya pengairan sawah padi, perikanan dan pelancongan Kegagalan menangani isu ini secara berkesan berpotensi memberi kesan rantaian terhadap bekalan makanan, pendapatan komuniti luar bandar serta kestabilan ekosistem setempat.

SUMBER:

Facebook Rasmi Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI