
Menurut kenyataan media Kementerian Kewangan (MOF):
Sebagai langkah meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah, Kerajaan akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mulai 12 Ogos 2025. Dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion, 8.6 juta rakyat akan menerima bayaran sehingga RM650 bagi fasa ini.
Jumlah ini merupakan peningkatan seramai 300,000 daripada 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari 2025. Peningkatan ini hasil daripada langkah Kerajaan membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.
Pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan. Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.






