
Menurut kenyataan media Kementerian Kewangan (MOF):
8.8 juta penerima akan menerima bayaran Fasa 4 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 bermula 18 Oktober 2025 lebih awal daripada jadual asal pada pertengahan November 2025 sebelum perayaan Deepavali.
Bagi fasa 4, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion, dengan kadar bayaran sehingga RM700 yang ditetapkan mengikut kategori. Jumlah ini termasuk 200,000 pemohon baharu yang telah diluluskan bayaran Fasa 4 STR, yang mana penyaluran akan dibuat mulai 13 November 2025.
Berbanding Fasa 1 pada Januari 2025, jumlah penerima Fasa 4 meningkat sebanyak 500,000 individu dan isi rumah daripada 8.3 juta susulan keputusan Kerajaan untuk membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun.
Kerajaan akan terus membuka pendaftaran STR dan SARA 2026 sepanjang tahun agar lebih ramai rakyat berpeluang mendapat manfaat daripada bantuan Kerajaan. Seperti diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar ketika pembentangan Belanjawan MADANI Keempat pada 10 Oktober 2025, peruntukan keseluruhan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencecah RM15 bilion bagi tahun 2026.
Bagi penerima sedia ada, data mereka akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data Kerajaan bersama data daripada agensi-agensi berkaitan untuk semakan kelayakan STR dan SARA 2026 mengikut syarat yang ditetapkan. Pendekatan ini turut mengurangkan risiko keciciran dan memastikan bantuan terus sampai kepada. golongan sasar.
Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. Semakan status pembayaran dan kelulusan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama.


SUMBER:






