Makluman: Pengecualian Kutipan 1.6 Peratus KWTBB Bagi Tarif Elektrik

TULAR:
253

Menurut kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA):

Selaras dengan hasrat untuk merancakkan pembangunan dan integrasi tenaga boleh baharu dalam pembekalan elektrik negara, Kerajaan telah membuat ketetapan dasar untuk menggalakkan penerapan tenaga boleh baharu di kalangan pengguna dengan mengecualikan kutipan 1.6% Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) bagi tarif elektrik daripada program tenaga boleh baharu yang dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Kutipan 1.6% KWTBB daripada tarif elektrik pengguna telah diperkenalkan pada tahun 2011, sebagai dana untuk memangkin pertumbuhan pembangunan tenaga boleh baharu di negara ini, melalui pelaksanaan mekanisme tarif galakkan atau Feed-in Tariff (FiT) oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia. Sejak pelaksanaan mekanisme FiT ini, kapasiti tenaga boleh baharu teragih dalam sistem pembekalan elektrik negara terutamanya daripada sumber solar telah meningkat secara mendadak iaitu daripada 5MW pada tahun 2011 kepada 5,100MW pada masa ini. Pada masa yang sama, program FiT ini juga telah berjaya meningkatkan komposisi pembekalan elektrik daripada sumber biogas, biojisim dan hidro kuasa kecil kepada 855MW.

Susulan daripada jadual tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, Kerajaan telah meneliti semula pelaksanaan program TBB sedia ada dan memutuskan untuk meneruskan hasrat untuk galakkan penerapan TBB di kalangan pengguna elektrik. Sehubungan itu, PETRA telah membuat ketetapan seperti berikut:

(i) Caj 1.6% daripada tarif elektrik untuk KWTBB dikecualikan untuk bekalan elektrik hijau yang diperolehi pengguna daripada program TBB sedia ada di bawah Kementerian ini iaitu Program Green Electricity Tariff (GET), Program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanisme (CREAM); dan
(ii) Pengecualian ini akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.

Dengan ketetapan serta penambahbaikan ini, PETRA berharap ia akan memberikan insentif kepada pengguna terutamanya syarikat korporat dan industri untuk terus menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah mencapai sasaran 70% TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2050.

Usaha ini juga diharap akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri TBB negara yang lebih progresif dan positif, seraya memenuhi tanggungjawab kepada generasi masa kini dan akan datang, sejajar dengan prinsip utama Malaysia MADANI.

SUMBER:
Facebook Rasmi PETRA

Instagram Rasmi PETRA


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI