Makluman: Pengukuhan Kawalan Dan Pemantauan Pengedaran Barang Kawalan Melalui Ops Tiris 4.0 (BERSEPADU)

TULAR:
3

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN):

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh YAB Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri dalam Taklimat Krisis Tenaga Global pada 2 April 2026, bekalan petroleum negara adalah stabil dan Kerajaan sedang menggerakkan pelan kontigensi untuk memastikan kelangsungan keterjaminan bekalan tenaga bagi memenuhi keperluan domestik.

Dalam menjamin kelangsungan bekalan, antara fokus utama Kerajaan bukan sahaja (i) memastikan kestabilan bekalan, malah mengambil langkah segera untuk (ii) memperketat kawalan dan pemantauan pengedaran. Selain daripada penguatkuasaan sedia ada mengekang aktiviti manipulasi barang kawalan, risiko ketirisan semakin tinggi susulan konflik Asia Barat yang mengakibatkan krisis tenaga global.

Sehubungan itu, langkah tegas memperketat kawalan dan pemantauan pengedaran adalah amat penting bagi membanteras ketirisan bekalan sama ada dalam bentuk penyeludupan, penyelewengan dan penyorokan. Susulan daripada keputusan Jemaah Menteri, Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) telah diaktifkan serta merta pada 11 Mac 2026 yang dipengerusikan oleh YAB Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri.

Antara strategi yang dilaksanakan ialah memperkasa pelaksanaan ops sedia ada iaitu OPS TIRIS 3.0 kepada OPS TIRIS 4.0 yang lebih bersepadu dengan memperkukuh kerjasama merentasi badan penguatkuasaan dan agensi kerajaan berkaitan berkuat kuasa 16 Mac 2026. Operasi penguatkuasaan yang melibatkan semua agensi berkaitan ini akan melibatkan tiga kluster utama iaitu daratan, perairan dan sempadan. YAB Timbalan Perdana Menteri akan mempengerusikan Mesyuarat JTPAP kali kedua pada 6 April 2026 dan akan memberikan penerangan status pelaksanaan penguatkuasaan.

Selain penguatkuasaan di lapangan, langkah memperkukuh kawalan juga melibatkan pemantauan harian melalui dashboard pangkalan data rantaian pengedaran. Ini meliputi keseluruhan rantaian pengedaran merentasi kilang penapisan hingga ke peringkat peruncitan termasuk keseluruhan fasiliti penyimpanan, stesen minyak dan pengguna industri. Kawalan dan pemantauan menyeluruh ini penting mengambil kira kepelbagaian modus operandi aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan penyorokan.

Selain OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu) yang melibatkan badan dan agensi kerajaan berkaitan, KPDN juga akan memperkasakan gerakan KITA GEMPUR iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan. KITA GEMPUR merupakan satu langkah strategik kerajaan yang telah dilancarkan pada 19 Oktober 2024 untuk membina gerakan massa melalui pendekatan seluruh negara ‘whole of nation’ dalam mengekang isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan.

Sehubungan itu, KPDN mengalu-alukan kebersamaan dan partisipasi awam termasuk dalam menyalurkan maklumat berkaitan. Namun, masyarakat diingatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat, serta tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan situasi panik dan kegusaran awam. Sebarang perbuatan menyebarkan maklumat palsu atau tidak tepat boleh dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

SUMBER:

Facebook Rasmi KPDN


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI