Makluman: Permohonan BUDI95 untuk Warganegara Malaysia yang Mempunyai Lesen Memandu Singapura Mulai 16 Oktober 2025

TULAR:
189

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT):

MOT prihatin terhadap maklum balas dari warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura berkenaan pelaksanaan BUDI95, khususnya mereka yang terlibat dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu bas, pemandu perkhidmatan sokongan dan pekerja operasi.

Untuk makluman, menurut peraturan pelesenan pemandu Malaysia dan Singapura, seseorang pemandu hanya dibenarkan untuk memiliki satu lesen memandu sahaja, iaitu dari Malaysia atau Singapura.

Oleh itu, warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura, terutamanya dalam sektor yang melibatkan tugas pemanduan, terpaksa melepaskan Lesen Memandu Malaysia untuk mendapatkan Lesen Memandu Singapura, walaupun mereka berstatus warganegara Malaysia, menetap di Malaysia dan memiliki kenderaan motor berdaftar di Malaysia yang digunakan dalam negara ini.

Bagi membantu Kementerian Kewangan (MOF) menilai dan mempertimbangkan permohonan daripada kumpulan ini, MOT melalui JPJ telah menyediakan laman web khas bagi membolehkan individu terlibat mendaftarkan permohonan subsidi BUDI95. Semua permohonan yang diterima akan dikemukakan kepada MOF untuk penelitian dan pertimbangan kelayakan selanjutnya.

Perkara-perkara yang akan dipertimbangkan bagi permohonan adalah seperti berikut:

  1. Pemohon merupakan warganegara Malaysia;
  2. Lesen Memandu Singapura (LMS) yang masih sah tempoh; dan
  3. Status permit pekerjaan di Singapura.

Bagi warganegara Malaysia yang mempunyai LMS tetapi tidak lagi bekerja di Singapura atau tidak lagi tertakluk kepada keperluan peraturan domestik Singapura untuk memegang LMS, mereka boleh memohon semula Lesen Memandu Malaysia (LMM) dengan terlebih dahulu membatalkan LMS melalui prosedur sedia ada di Singapura. Permohonan mendapatkan semula LMM boleh dibuat di mana-mana Pejabat JPJ berdekatan setelah disahkan bahawa tiada sekatan, penggantungan atau sabitan dikenakan terhadap LMS tersebut oleh pihak berkuasa Singapura.

Laman web permohonan subsidi BUDI95 bagi individu terlibat boleh diakses di: https://budi95lesensg.jpj.gov.my mulai 16 Oktober 2025.
Pemohon boleh menyemak status kelayakan masing-masing melalui laman web rasmi BUDI95 di: www.budi95.gov.my selepas 14 hari daripada tarikh penghantaran permohonan.

Untuk makluman, pertimbangan akhir ke atas setiap permohonan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MOF), berdasarkan semua syarat yang telah ditetapkan di bawah program subsidi BUDI95.

Peraturan yang menetapkan BUDI95 adalah hanya untuk kenderaan yang didaftarkan di Malaysia masih dikekalkan.

SUMBER:
Facebook Rasmi MOT

Facebook Rasmi JPJ


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI