
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN):
KPDN terus memperkukuh ketelusan dan keberkesanan penyaluran subsidi kepada rakyat melalui pelaksanaan Program Agihan Minyak Masak Bersubsidi yang diperkasa melalui aplikasi digital eCOSS, sekali gus memastikan subsidi disalurkan secara lebih bersasar, telus dan berintegriti.
Bagi memastikan pelaksanaan di peringkat lapangan berjalan lancar dan berkesan, satu sesi walkabout telah diadakan di Pasaraya Maslee B5, Johor Bahru pada hari ini untuk meninjau operasi program serta menilai keberkesanan penggunaan aplikasi mobil eCOSS dalam transaksi jual beli minyak masak paket bersubsidi di premis Point of Sales (POS) yang terlibat.
Program Agihan Minyak Masak Bersubsidi di Negeri Johor yang bermula sejak 11 Mei 2025 kini memasuki fasa ke-4, melibatkan sebanyak 69 POS di seluruh negeri dengan jumlah peruntukan sebanyak 1,030 metrik tan kuota minyak masak paket bersubsidi, sekali gus membolehkan pengedaran bekalan dilaksanakan secara lebih tersusun dan menyeluruh. Pendekatan ini memastikan ketersediaan bekalan sentiasa mencukupi serta sampai kepada pengguna secara lebih teratur.
Selari dengan usaha memperkukuh kecekapan sistem penyampaian, penggunaan aplikasi mobil eCOSS telah diperluaskan ke semua 69 POS serta dalam pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI di Negeri Johor.
Sepanjang tahun 2025, seramai 326,000 pengguna telah memuat turun dan mendaftar aplikasi ini, manakala sehingga Mac 2026, tambahan 160,000 pengguna baharu direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 486,000 pengguna.
Seiring dengan peningkatan penggunaan ini, sebanyak 8.2 juta transaksi jualan minyak masak paket bersubsidi telah direkodkan melalui sistem eCOSS di negeri ini. Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan tahap penerimaan yang tinggi, malah memperlihatkan keberkesanan sistem digital dalam memperkukuh pemantauan, meningkatkan ketelusan serta mengekang risiko ketirisan dalam rantaian pengedaran.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini yang disokong oleh penggunaan teknologi digital telah memberikan impak positif dalam memperkemas sistem pengedaran serta memastikan setiap ringgit subsidi Kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasar.
Kementerian akan terus komited memperkukuh mekanisme pemantauan serta memperluas penggunaan teknologi digital, dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan dalam penyaluran subsidi.
SUMBER:






