
Menurut kenyataan media Kementerian Kewangan (MOF):
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, hari ini mengumumkan bahawa mulai 30 September 2025, Malaysia akan beralih kepada sistem subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUD195) untuk manfaat rakyat.
“Kerajaan telah mengotakan komitmennya untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan mengurangkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia,” kata beliau.
Berbanding harga pam petrol RON95 semasa iaitu RM2.05 seliter, rakyat Malaysia dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter mulai 30 September 2025. Bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
“Semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan, yang mempunyai lesen memandu aktif akan layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik. Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.
“Penjimatan daripada peralihan kepada BUD195 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Namun, tumpuan Kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan prasarana asas,” tambah beliau.
Semua rakyat layak menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300-liter sebulan. Pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan tersebutdan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan, di mana lebih 99% pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah ini.
Kerajaan telah mengambil langkah untuk memudahcarakan proses untuk rakyat memanfaatkan harga bersubsidi RON95, antaranya:
- Pertama, tiada pendaftaran diperlukan;
- Kedua, hanya satu langkah tambahan, iaitu pengesahan dengan MyKad untuk urusan membeli RON95 pada harga bersubsidi; dan
- Ketiga, terminal pembaca MyKad disediakan di dalam kedai stesen minyak dan juga di terminal pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan. Di samping itu, terdapat opsyen digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo.
Pelaksanaan program BUD195 akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak:
- Pada 27 September 2025 (Sabtu), sistem BUD195 dibuka awal kepada 300 ribu anggota tentera dan polis;
- Pada 28 September 2025 (Ahad), sistem BUDI95 dibuka awal kepada penerima STR yang merupakan golongan B40; dan
- Pada 30 September 2025 (Selasa), sistem BUD195 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
Kerajaan menasihati rakyat agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah sebelum peralihan kepada BUD195. Walau bagaimanapun, rakyat tidak perlu tergesa-gesa memperbaharui MyKad sekiranya mereka berjaya menebus bantuan SARA atau Penghargaan SARA, kerana itu membuktikan cip MyKad berfungsi.






