
Menut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES):
Bersandarkan laporan status cuaca setakat 5 April 2026, Kota Setar, Kedah kini berada pada Tahap 2 atau Gelombang Haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37°C hingga 40°C yang berlaku sekurang-kurangnya tiga (3) hari berturut-turut. Selain itu, beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Pahang, dan Johor turut diletakkan di bawah status Tahap 1 (Berjaga-jaga) berikutan suhu maksimum harian 35°C hingga 37°C selama tiga hari berturut-turut.
Sehubungan itu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi mendepani cabaran cuaca panas yang sedang melanda negara.
Pelaksanaan OPA yang dijadualkan bermula hari ini hingga 9 April 2026 ini akan memberikan tumpuan khusus kepada empangan utama yang terletak di negeri Perak, Kedah, Perlis, dan Johor bagi memastikan kelangsungan bekalan air domestik dan pertanian.
Objektif utama siri operasi ini adalah untuk meningkatkan paras air di empangan-empangan strategik tersebut serta membantu memberikan kelembapan kepada ekosistem bagi mengurangkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut.
Walau bagaimanapun, kementerian ingin menegaskan bahawa kejayaan operasi ini amat bergantung kepada keadaan atmosfera yang kondusif, terutamanya kehadiran awan kumulus yang sesuai dan kelajuan angin yang rendah. Pasukan teknikal MET Malaysia akan sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa bagi menentukan lokasi sasaran yang tepat yang dapat menghasilkan impak maksimum kepada kawasan yang terkesan.
Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan agar terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti luar pada waktu tengah hari, memastikan pengambilan air yang mencukupi, serta menggunakan perlindungan diri seperti topi atau payung ketika berada di bawah panas terik.
Seluruh rakyat juga diseru untuk menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi menjaga kualiti udara serta kelestarian alam sekitar. Kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk memantau impak cuaca panas ini, manakala maklumat terkini boleh dirujuk melalui aplikasi myCuaca atau laman web rasmi MET Malaysia.
SUMBER:






