Makluman: Tarif Timbal Balas ke Atas Eskport Malaysia Daripada 25% Kepada 19% Berkuat Kuasa 1 Ogos 2025

TULAR:
46

Menurut kenyataan media Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI):

MITI mengambil maklum keputusan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk menurunkan tarif timbal balas ke atas eksport Malaysia daripada 25% kepada 19%, berkuat kuasa 1 Ogos 2025. Rundingan tarif Malaysia-Amerika Syarikat (AS) – yang bermula pada 6 Mei 2025 – telah tamat secara rasmi pada 31 Julai 2025.

Keberhasilan positif ini berikutan sesi libat urus berterusan antara kedua-dua kerajaan melalui pelbagai platform dua hala dan mencerminkan tahap saling melengkapi yang tinggi di antara Malaysia-AS dalam sektor perdagangan dan pelaburan selama lebih 60 tahun. Kadar 19% secara kasarnya adalah setara dengan kadar tarif negara lain di rantau Asia Tenggara. Paling utama, pendirian Malaysia tidak berganjak bagi pelbagai perkara dalam rangkuman ‘garisan merah’, dan kadar tarif 19% telah dicapai tanpa mengkompromi kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar-dasar penting bagi menyokong kestabilan dan pertumbuhan sosio-ekonomi negara. MITI menganggap kadar pengurangan ini sebagai pencapaian penting dalam proses rundingan Malaysia yang amat menyeluruh dan sistematik.

MITI juga telah bekerjasama rapat dengan agensi seperti Bank Negara Malaysia dalam mengambil kira kesan tahap tarif yang berbeza terhadap KDNK Malaysia. Dalam menangani kesan tarif 19%, MITI akan:

  • Terus bekerjasama rapat dengan Kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mengurangkan kesan tarif terhadap eksport Malaysia;
  • Menggalakkan pengeksport untuk memanfaatkan sepenuhnya 18 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia bagi mempelbagaikan dan mengembangkan pasaran eksport mereka;
  • Meneruskan program-program reformasi industri – seperti yang ditetapkan oleh dasar-dasar utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Semikonduktor Nasional – untuk membantu syarikat Malaysia meningkatkan kecekapan, menerapkan automasi, dan meningkatkan produktiviti secara keseluruhan; dan
  • Meneroka pelbagai pendekatan untuk terus menyokong syarikat Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam menyesuaikan diri dengan kadar asas tarif (‘baseline tariff’) yang baharu.

SUMBER:
Laman Rasmi MITI


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI