Menurut kenyataan media Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB):
Merujuk kepada mesej tular di media sosial yang memaklumkan orang ramai boleh mengisi borang pendaftaran vaksin “Vaksin Pfizer, Kuota TMJ”, MBJB ingin menyatakan bahawa maklumat di dalam mesej tersebut adalah palsu, malah pihak MBJB tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa borang tersebut adalah borang pendaftaran bagi vaksin jenis Pfizer di bawah kuota mana-mana pihak.
Borang yang ditularkan tersebut adalah merupakan borang pendaftaran vaksin yang digunakan oleh urusetia Southern Volunteers Johor Bahru bagi membantu mendaftarkan warga bandar raya Johor Bajru yang masih belum mendaftar bagi pengambilan vaksin, sama ada menerusi aplikasi MySejahtera atau menerusi laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di www.vaksincovid.gov.my.
Untuk makluman warga bandar raya juga, Southern Volunteers Johor Bahru turut menggunakan platform laman web JKJAV tersebut bagi menyemak dan mendaftarkan orang awam yang belum mendaftar vaksin. Sehubungan itu, MBJB turut menafikan sebarang makluman yang mengatakan bahawa pendaftaran vaksin melalui borang Southern Volunteers lebih diutamakan untuk pemberian vaksin berbanding kaedah pendaftaran sendiri melalui aplikasi MySejahtera atau laman web JKJAV.