
Menurut kenyataan Media Kementerian Komunikasi (KK):
KK sedang meneliti perkembangan terkini susulan isu pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur yang dibuat menurut perjanjian konsesi yang telah ditandatangani oleh Kerajaan.
Kementerian Komunikasi ingin menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur adalah milik kerajaan serta pengambilalihan konsesi hanya melibatkan perubahan pengurusan dan operasi yang telah dilaksanakan melalui notis pelawaan cadangan (request for proposal – RFP iaitu suatu tender terbuka bagi projek kerjasama awam swasta (PPP)) selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.
Bagi maksud tersebut, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM) telah melaksanakan proses RFP dan seterusnya Jemaah Menteri telah memperakukan pembida berjaya berdasarkan penilaian ke atas RFP tersebut. Pembida berjaya ini telah diumumkan oleh pihak Kerajaan pada 29 Mei 2024.
Pihak kementerian mengambil maklum akan writ saman dan permohonan injunksi yang telah difailkan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) lanjutan daripada pelantikan syarikat konsesi baharu ini. Oleh itu, pihak Kerajaan melalui kementerian ini akan memastikan bahawa apa-apa tindakan yang akan diambil kelak adalah selaras dengan proses undang-undang.