
Menurut Kenyataan Media Jabatan Audit Negara (JAN):
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan/Agensi/Syarikat Kerajaan Persekutuan telah dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada 21 Julai 2025 (Isnin) setelah mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Seterusnya, laporan ini akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 23 Julai 2025 (Rabu).
Sepanjang proses pengauditan, Jabatan Audit Negara mendapat sokongan jitu daripada semua jentera Kerajaan termasuk YAB Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Kerjasama dan komitmen ini amat penting sebagai pemangkin kepada tadbir urus berintegriti, dan menyokong agenda reformasi sektor awam ke arah pentadbiran yang cekap, berakauntabiliti dan berorientasikan rakyat.
Secara umumnya, LKAN 2/2025 Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan/Badan Berkanun/Syarikat Kerajaan Persekutuan mengandungi perkara yang telah dibangkitkan hasil daripada pengauditan terhadap lima (5) program/aktiviti/projek di tujuh kementerian dengan nilai kos keseluruhan program/aktiviti/projek yang diaudit berjumlah RM48.873 bilion dan jumlah ini bukan ketirisan atau kerugian seperti yang dilaporkan dalam beberapa portal media. Kenyataan sedemikian berpotensi mencetuskan kekeliruan serta persepsi negatif yang tidak berasas terhadap pengurusan kewangan negara.
Skop pengauditan ini secara amnya mengambil kira prestasi program/projek/aktiviti yang telah dilaksanakan merangkumi pelbagai tahun ke belakang (isu-isu legasi) serta sebarang usaha atau inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan.
Justeru setiap penemuan yang dibentangkan dalam laporan ini disusuli dengan syor penambahbaikan yang konstruktif bagi membantu kementerian dan jabatan serta agensi Kerajaan meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuhkan sistem dalaman dan pematuhan.
Sebanyak 44 isu yang telah dilaporkan dalam LKAN 2/2025 telah pun dimuat naik di Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (AGD) pada 21 Julai 2025 untuk disusuli dengan Kementerian dan Jabatan berkenaan. Isu-isu yang sama juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara (JSLKAN) dan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) yang dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan secara bersama.
Bagi tempoh tahun 2024 hingga bulan Jun 2025, susulan audit yang dilaksanakan oleh JAN telah berjaya membantu Kerajaan mendapat bayaran balik berjumlah RM157.73 juta, antaranya menerusi tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD), tunggakan pajakan tanah, kutipan duti dan cukai.






