Menurut Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia):
Berdasarkan analisis model-model cuaca terkini, luruan monsun kuat dijangka berlanjutan sehingga hujung November 2024. Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan dalam tempoh berkenaan.
Sehubungan dengan ini, MET Malaysia telah mengemas kini Amaran Hujan Berterusan (Bahaya, Buruk & Waspada) melibatkan Semenanjung yang berkuat kuasa sehingga 30 November 2024.
Selain itu, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan masih berkuat kuasa sehingga 30 November 2024.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia dan sentiasa peka dengan maklumat dan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan oleh MET Malaysia. Ia meliputi 3 seksyen amaran seperti berikut:
SEKSYEN A: AMARAN HUJAN BERTERUSAN (BAHAYA)
Hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai) • Terengganu sehingga Sabtu, 30 November 2024.
SEKSYEN B: AMARAN HUJAN BERTERUSAN (BURUK)
Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Perak (Hulu Perak) • Kelantan (Gua Musang) • Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) sehingga Sabtu, 30 November 2024.
SEKSYEN C: AMARAN HUJAN BERTERUSAN (WASPADA)
Hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Perlis • Kedah • Pulau Pinang • Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar) • Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera) • Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi) sehingga Sabtu, 30 November 2024.