Waspada Aplikasi Hasad “Pink WhatsApp”

TULAR:
1274

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai agar berwaspada apabila menerima jemputan untuk menyertai atau memuat turun aplikasi hasad “Pink
WhatsApp.”

Aplikasi berkenaan kononnya menawarkan ciri keselamatan serta privasi yang lebih baik, antaramuka yang boleh diubah suai, serta keupayaan untuk menghantar fail lebih besar berbanding aplikasi WhatsApp yang biasa digunakan. Bagaimanapun, selepas pemasangan, aplikasi hasad berkenaan
boleh mengakses pelbagai item dalam telefon pintar pengguna seperti gambar, SMS dan senarai kenalan, yang boleh membawa kepada risiko keselamatan yang serius.

Para pengguna akan menerima mesej dan pautan seolah-olah daripada pihak WhatsApp yang mengajak pengguna untuk mencuba aplikasi baharu tersebut.

MCMC menasihatkan pengguna untuk tidak memuat turun dan memasang aplikasi “Pink WhatsApp” tersebut, dan segera membuang aplikasi berkenaan sekiranya ia telah dipasang dalam telefon pintar mereka. MCMC mengesyorkan pengguna untuk hanya memuat turun aplikasi mudah alih daripada gedung aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery. Pengguna juga diminta untuk tidak menyebarluaskan sebarang pautan yang mencurigakan.

MCMC ingin menekankan kepentingan untuk berhati-hati ketika menggunakan aplikasi mudah alih, mengambil langkah-langkah pencegahan untuk melindungi maklumat peribadi, serta mengelak daripada memuat turun aplikasi hasad. Para pengguna adalah disarankan untuk kekal berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan dengan “Pink WhatsApp” melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.mcmc.gov.my/#/public/main atau talian hotline Aduan di 1800-188-030.

SUMBER:

Facebook Rasmi MCMC

Twitter Rasmi MCMC


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI