Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET):
Analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun kuat dijangka memasuki rantau negara bermula pada 9 Januari dan berterusan sehingga 13 Januari 2025. Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan di timur dan selatan Semenanjung dalam tempoh berkenaan. Kawasan barat Semenanjung juga berisiko mengalami hujan berterusan sepanjang tempoh tersebut.
Selain itu, perairan Laut China Selatan dijangka mengalami angin kencang dan laut bergelora. Keadaan ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan laut. Kenaikan paras air laut turut dijangka di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan serta berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai.