Waspada Panggilan Palsu Kononnya Daripada ‘Datuk ACP Nafi’ & ‘ACP Mohamad’

TULAR:
972

Waspada dengan panggilan individu memperkenalkan diri sebagai ‘Datuk Asisten Komisioner (ACP) Nafi’ dan ‘ACP Mohamad’ kerana ia dipercayai taktik sindiket Macau Scam untuk memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai kanan polis.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah, Superintendan Elias Omar, nama Datuk ACP Nafi dikesan mula memperdaya mangsa pada bulan lalu (Januari 2021) apabila seorang wanita di negeri Kedah kerugian lebih RM120,000.

“Jumlah kerugian itu adalah yang tertinggi dilaporkan di Kedah pada tahun ini dan saya berharap orang ramai lebih berwaspada dengan taktik licik sindiket Macau Scam ini.

“Manakala, nama ACP Mohamad pula dilaporkan aktif sejak tahun lalu, manakala Sarjan Chong pada tahun sebelumnya dan mereka menggunakan taktik sama untuk memperdaya mangsa kononnya terbabit dalam pengubahan wang haram, dadah atau tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).”

Menurut Elias, sindiket itu sebelum ini menyasarkan golongan warga emas terdiri pesara kerajaan selain penjawat awam, namun kini mengubah taktik tanpa mengira usia.

“Kebanyakan mangsa cepat panik apabila menerima panggilan kononnya mereka mempunyai tunggakan cukai, terbabit dengan jenayah dadah dan sebagainya menyebabkan mereka memindahkan wang seperti yang diarahkan suspek.

SUMBER:

Harian Metro


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI