Waspada Terhadap Surat Pelantikan Berkaitan Program Bantuan Pemulangan Wang Yang Menyalahgunakan Jata Negara Dan Nama National Anti-Financial Crime Centre (NFCC)

TULAR:
5

Menurut kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM):

JSJK telah mengesan penularan satu dokumen digital bertajuk “Surat Pelantikan” yang dipercayai direka dan diedarkan bagi tujuan penipuan. Dokumen berkenaan yang kononnya ditandatangani oleh pengarah JSJK tersebut mendakwa bahawa National Anti-Financial Crime Centre (NFCC) telah dilantik oleh JSJK sebagai entiti rasmi untuk membantu melaksanakan program bantuan pemulangan wang kepada mangsa penipuan.

JSJK menafikan pernah mengeluarkan dokumen tersebut. Untuk makluman, program bantuan pemulangan wang seperti yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan adalah tidak wujud, dan sebarang dakwaan mengenainya adalah palsu serta mengelirukan orang ramai.

Adalah ditegaskan bahawa proses pemulangan wang kepada mangsa penipuan bukanlah satu bentuk program bantuan, sebaliknya ia merupakan komitmen dan tanggungjawab pdrm yang dilaksanakan tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada, hasil siasatan yang dijalankan, serta keputusan pihak berkuasa berkaitan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai, menyebarkan atau berurusan dengan mana-mana pihak yang menawarkan bantuan pemulangan wang atau meminta bayaran, maklumat peribadi, butiran perbankan atau dokumen pengenalan diri dengan menggunakan nama PDRM, JSJK atau mana-mana agensi kerajaan tanpa pengesahan rasmi.

Masyarakat juga disarankan supaya sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi pdrm atau balai polis berhampiran serta segera melaporkan sebarang maklumat atau aktiviti yang mencurigakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

SUMBER:
Facebook Rasmi JSJK PDRM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI