
Menurut kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ):
JPJ ingin membuat penafian berkaitan dakwaan pengeluaran dan penggunaan tanda indeks nombor pendaftaran kenderaan siri “EE” melalui surat yang tular di media sosial.
JPJ ingin menegaskan bahawa tanda indeks nombor pendaftaran kenderaan siri “EE” tidak pernah dikeluarkan, diperkenalkan atau diluluskan oleh Jabatan. Surat kelulusan yang sedang tular di media sosial itu juga adalah palsu dan merupakan satu bentuk penipuan (scam) yang berpotensi mengelirukan serta memperdaya orang awam.
Hasil siasatan awal mendapati, format dan identiti surat rasmi JPJ telah digunakan secara tidak sah oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuk penggunaan kepala surat, gaya penulisan dan susun atur yang menyerupai dokumen rasmi JPJ, sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai serta menjejaskan kredibiliti jabatan.
Dalam hal ini, JPJ ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran atau maklumat berkaitan nombor pendaftaran kenderaan yang meragukan, serta sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi JPJ bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
SUMBER:
Facebook Rasmi JPJ






