Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dengan mesej yang menawarkan untuk memuat turun WhatsApp Gold serta amaran berkenaan pengeluaran video bertajuk ‘Gambarelli’ yang dipercayai mengandungi virus.
Berdasarkan penelitian dan semakan pihak MCMC, mesej yang ditularkan merupakan mesej yang dikitar semula sejak Mei 2016 seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Sun UK. Menurut The Sun, mesej asal menawarkan kononnya WhatsApp Gold mempunyai ciri-ciri kelebihan seperti panggilan video, penghantaran gambar sehingga 100 keping gambar dalam satu masa serta pemadaman mesej yang telah dihantar dalam masa beberapa jam. Pengguna akan terima pautan yang meminta pengguna untuk memuat turun WhatsApp Gold, yang kemudian akan membawa pengguna ke satu laman web yang mengandungi perisian hasad (malware).
Mesej tersebut dipercayai telah diolah saban tahun dan disertakan amaran berkenaan video “Gambarelii/ Martinelli” yang turut mengandungi virus. Namun tiada bukti bahawa wujudnya video tersebut.