PALSU:
Tular di media sosial rakaman audio dakwaan kononnya akan berlaku kacau bilau perkauman pada 7 dan 8 Disember 2019.
SEBENARNYA:
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM):
Polis Diraja Malaysia telah mengesan penularan beberapa rakaman audio yang mendakwa akan berlaku kacau bilau perkauman pada 7 dan 8 Disember 2019, dan sehubungan itu, meminta orang ramai untuk tidak keluar rumah pada kedua-dua hari berkenaan. Rakaman audio yang mendakwa kononnnya maklumat tersebut datangnya dari pihak Polis di Bukit Aman, turut meminta orang ramai untuk membeli barang-barang keperluan harian secukupnya bagi menghadapi situasi berkenaan.
PDRM menegaskan bahawa berita tersebut adalah palsu dan dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, jelasnya dengan niat untuk menakut-nakutkan serta membangkitkan kegusaran mesyarakat.
PDRM menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan platform media sosial serta lain-lain rangkaian komunikasi untuk menyebar dan berkongsi sebarang maklumat atau berita palsu dengan tujuan membangkitkan sentimen perkauman atau menyentuh sensitiviti keagamaan sehingga boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.