PENJELASAN:
Jabatan Perdana Menteri (JPM) memperjelaskan dakwaan bahawa pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar (AATB) merupakan satu kerugian besar pada pihak kerajaan sepertimana yang tular di media sosial.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, pemansuhan itu dibuat kerana undang-undang dan akta sedia ada memadai untuk mendakwa mana-mana pihak yang membuat berita palsu bertujuan memfitnah.
Pada masa sama, katanya, agensi penyiasatan dan penguat kuasa akan diperkasa bagi memastikan kes berita palsu dan fitnah dapat ditangani.
Mohamed Hanipa berkata, perintah sementara dalam Akta Antiberita Tidak Benar 2018 terkandung dalam undang-undang sedia ada seperti Akta Kanun Acara Jenayah.
Katanya, akta itu dilihat mengulangi banyak peraturan dalam undang-undang lain.