Aktiviti Banci Secara Bersemuka Masih Berjalan Seperti Biasa

TULAR:
4371

Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM):

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan ini memaklumkan kenyataan yang sedang tular melalui media sosial termasuk aplikasi Whatsapp berkaitan ‘tiada lagi dibenar sebarang aktiviti Banci Secara Bersemuka dari rumah ke rumah oleh Kerajaan / Penyelia / Pembanci sehingga hujung tahun 2020’ adalah kenyataan palsu dan semua pihak diminta berhenti menyebarkannya serta-merta.

Merujuk kepada Kenyataan Media oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Pesuruhjaya Banci 2020 bertarikh 5 Oktober 2020, DOSM mengambil tindakan penyesuaian semula pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci 2020). Banci 2020 Fasa Kedua (secara bersemuka) yang dirancang pada 7 hingga 24 Oktober 2020 telah dijadualkan semula kepada 20 Januari 2021 hingga 6 Februari 2021.

Dengan penjadualan semula tersebut, Banci 2020 Fasa Pertama secara dalam talian (e-Census) telah dilanjutkan sehingga 21 Disember 2020 yang akan melibatkan strategi seperti berikut:

  • Pra-pendaftaran bagi pengisian e-Census dibuka semula bermula 7 Oktober hingga 30 November 2020; dan
  • Poskad ID e-Census akan dihantar oleh pegawai-pegawai DOSM ke kawasan yang disasarkan.

Meskipun berhadapan dengan situasi mencabar berikutan peningkatan penularan wabak COVID-19 dalam negara pada masa ini, pelaksanaan aktiviti di lapangan berkaitan Banci 2020 dan survei-survei rutin DOSM diteruskan dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang antaranya melibatkan edaran poskad ID e-Census, aktiviti bersama komuniti dan penganjuran klinik e-Census di lokasi-lokasi terpilih.

DOSM menyeru agar orang awam dapat memberi kerjasama dalam menjayakan Banci 2020 dan survei yang dilaksanakan di samping mengambil langkah berjaga-jaga bersesuaian dengan situasi semasa. Ini termasuk memanfaatkan Banci Dalam Talian (e-Census), penggunaan e-survei dan temuramah melalui telefon atau Computer Assisted Telephone Interview (CATI).

Untuk keterangan lanjut berkenaan Banci 2020, sila layari portal www.mycensus.gov.my atau hubungi Hotline Banci 2020 (1-800-88-7720).

SUMBER:

Twitter Rasmi DOSM
Facebook Rasmi Banci Malaysia


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI