SEBENARNYA:
Tiada kes positif Covid-19 dikesan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Muafakat Adda Height di sini, sebagaimana tular di media sosial.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Datuk Dr Aman Rabu berkata, mesej terbabit adalah tidak benar.
Katanya, tiada laporan tiga warganegara Bangladesh positif Covid-19 dikesan ambil vaksin di PPV terbabit.
“Menurut laporan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru, berita tidak benar, tiada tiga orang Bangladesh yang positif Covid-19 dikesan,” katanya ringkas ketika dihubungi.
Mesej tular itu meminta orang ramai yang pergi ke PPV berkenaan supaya berhati-hati kerana minggu lalu terdapat tiga warganegara Bangladesh yang mengambil vaksin positif Covid-19.
Mesej itu turut menyatakan PPV berkenaan juga tidak ditutup untuk proses sanitasi awam dan tidak selamat dikunjungi.