Polis menafikan dakwaan satu video tular yang menyatakan seorang lelaki warga asing yang memakai gelang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berwarna pink berkeliaran di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang.
Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisoner Osman Mamat, lelaki yang digambarkan sebagai warga asing di dalam video yang tular itu sebenarnya adalah warga tempatan berusia 53 tahun.
Mengulas lanjut, Osman berkata, pihaknya menerima panggilan dari peronda lebuh raya pada pukul 10.50 pagi yang menyatakan seorang lelaki kurang siuman berkeliaran di tempat awam di R&R Bukit Gantang.
“Bertindak atas maklumat tersebut, dua anggota polis dari Balai Changkat Jering terus ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati lelaki warga tempatan yang berasal dari Padang Rengas itu telah menumpang sebuah lori untuk ke Alor Setar kerana ingin mencari kerja.”