PALSU:
Tersebar luas di media sosial dakwaan kononnya harga gula pasir kasar naik.
SEBENARNYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan berlakunya kenaikan harga gula pasir kasar di pasaran seperti yang ditularkan dalam media sosial.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin menjelaskan, pihaknya telah menjalankan siasatan dan mendapati dakwaan tersebut tidak berasas.
Beliau berkata, “Gambar itu tidak benar, harga satu kilogram (kg) gula pasir kasar masih RM2.95 manakala gula pasir halus pula dijual dengan harga RM3.05. Kekeliruan berlaku kerana peniaga menyusun gula kasar dan gula halus secara bersebelahan dan pengguna menyangka harga gula telah dinaikkan”.
Tambah Mohd. Roslan, peniaga tidak dibenarkan menjual gula kasar melebihi harga yang ditetapkan iaitu RM2.95 sekilo kerana ia tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2017).