Kanak-Kanak Melecur Dirawat Dengan Tidak Berperikemanusiaan Oleh Hospital Kuala Lumpur?

TULAR:
1610

PALSU :

Tular di media sosial dakwaan kononnya seorang kanak-kanak yang cedera melecur telah dirawat dengan tidak berperikemanusiaan oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sumber gambar: Facebook.

SEBENARNYA :

Menurut Hospital Kuala Lumpur, kenyataan yang dilemparkan di halaman tersebut adalah tuduhan palsu dan telah mencemarkan imej Hospital Kuala Lumpur sebagai Pusat Rawatan Kebakaran di negara ini yang merawat pesakit luka bakar dan kelecuran yang dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur. Pada tahun 2016 sahaja, Hospital Kuala Lumpur telah menerima lebih 150 kes untuk rawatan tersebut.

Pesakit kanak-kanak yang dimaksudkan di dalam kenyataan agen insurans adalah kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang telah melecur 10% kerana terkena air panas (air rebusan ketupat) pada kejadian di rumahnya bertarikh 21 September 2017 jam 3.00 petang. Selepas kejadian, pesakit dibawa ke Hospital Az Zahrah dan seterusnya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur pada hari yang sama. Setibanya di Hospital Kuala Lumpur, beliau telah diberikan rawatan segera di bawah pengurusan Unit Rawatan Kebakaran Institut Pediatrik, dan turut dirujuk kepada disiplin-disiplin yang lain kerana rawatan kebakaran memerlukan pendekatan secara holistik dan multidisiplin untuk mengoptimakan perawatan.

Pesakit telah diberikan rawatan sewajarnya iaitu cucian luka di wad mengikut rutin yang telah ditetapkan oleh pakar yang merawat termasuk pembersihan luka (wound Debridement) yang dijalankan di bilik pembedahan dengan pembiusan (under GA). Selain itu, pesakit diberikan ubat tahan sakit secara berkala dengan ubat-ubatan yang bersesuaian di wad bagi memastikan pesakit selesa. Antibiotik juga diberikan untuk menghindar dan merawat jangkitan kuman. Adalah mustahil pesakit tidak merasa sakit mahupun trauma akibat kelecuran tersebut, namun dengan rawatan dan ubat tahan sakit yang diberikan mampu mengurangkan kesakitan tersebut sebagaimana aspirasi “Pain Free Hospital” yang menjadi matlamat utama Hospital Kuala Lumpur.

(Butiran selanjutnya di: Facebook Hospital Kuala Lumpur)

 

SUMBER :

Facebook Hospital Kuala Lumpur

Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI