Kematian Pelajar Di Labuan Disebabkan Strok Haba?

TULAR:
1526

PENJELASAN:

Tular di media sosial berkaitan dakwaan kematian seorang pelajar sekolah disebabkan strok haba kerana cuaca panas.

Sumber gambar: Facebook

Menurut kenyataan rasmi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan (JKWPL):

JKWPL merujuk kepada isu tular di media sosial berkaitan kematian seorang pelajar sekolah SMK Rancha-Rancha, Wilayah Persekutuan Labuan yang meninggal dunia ketika hari sukan sekolah yang dikatakan disebabkan strok haba.

JKWPL mengesahkan kejadian satu (1) kes kematian pelajar sekolah pada 17 Februari 2019 sewaktu sukan tahunan sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan dan ingin memaklumkan bahawa kematian tersebut bukan berpunca dari gejala strok haba seperti yang diviralkan di media sosial.

Kejadian tersebut berlaku pada pukul 8.40 pagi, 17 Februari 2019 di Kompleks Sukan Kolej Matrikulasi Labuan semasa pelajar tersebut menyertai acara olahraga 200 meter perempuan di mana beliau telah rebah secara tiba-tiba.

Bantuan kecemasan telah diberikan oleh petugas perubatan daripada Angkatan Perkhidmatan Awam (APAM) WP Labuan dan seterusnya pelajar tersebut telah dikejarkan ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Labuan dan tiba pada pukul 9.20 pagi. Keadaan pelajar tersebut semasa ketibaan adalah kritikal dan pemeriksaan mendapati suhu badan beliau adalah 37.0’C (suhu normal badan manusia). Bantuan kecemasan dan resusitasi diberikan namun beliau tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan disahkan meninggal dunia pada 9.45 pagi pada hari yang sama. Pemeriksaan bedah siasat telah dijalankan dan masih menunggu keputusan.

Pemantauan suhu persekitaran oleh Jabatan Meteorologi Malaysia mendapati suhu persekitaran Wilayah Persekutuan Labuan pada masa kejadian hanya sekitar antara 26’C hingga 30’C manakala dari 1 hingga 17 Februari 2019, suhu yang dilaporkan adalah diantara 24’C hingga 31’C. Julat suhu persekitaran ini adalah pada paras normal iaitu di bawah 35’C yang mana tidak menyebabkan kejadian gelombang haba.

SUMBER:

Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

Harian Metro


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI