PENJELASAN:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan laporan berhubung kulit limau jeruk keluaran Jiabao Jiuzhi Chenpi dari China yang popular di beberapa negara termasuk Malaysia dan Singapura dikesan dicemari plumbum oleh pihak berkuasa negara China.
Menurut kenyataan rasmi KKM:
Berdasarkan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of Malaysia– FoSIM) dari tahun 2017 sehingga kini, jeruk kulit limau keluaran Jiabao Jiuzhi Chenpi dari negara China yang terlibat dalam isu ini TIDAK diimport ke Malaysia. Walaubagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah meningkatkan pemantauan ke atas semua jenis jeruk buah kering termasuklah jeruk kulit limau yang diimport dari negara China di semua pintu masuk negara. Sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan di bawahnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil.
Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak yang terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.
Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
SUMBER: