Makluman: Harga Diesel Bersubsidi Untuk Rakyat Turun Kepada RM2.10 Seliter Di Seluruh Negara Mulai Julai 2026

TULAR:
10

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF):

Seperti yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, di Bintulu, Sarawak hari ini, Kerajaan akan menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026.

Penurunan harga ini akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad, selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara. Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.

Dalam keadaan krisis Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, langkah ini penting bagi memastikan subsidi Kerajaan hanya sampai kepada rakyat Malaysia serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi.

Perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi telah mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi, termasuk ke luar negara. Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.

Dengan pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada harga runcit di Semenanjung Malaysia dan dengan itu, bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi. Pada masa yang sama, rakyat di Sabah dan Sarawak dengan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.

Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel ini akan diumumkan oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II pada 22 Jun 2026.

SUMBER:

Facebook Rasmi MOF


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI