Makluman: Kerajaan Tambah Baik Budi Diesel Demi Manfaat Pengguna Kenderaan Diesel

TULAR:
6

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF):

Seperti yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, pada Sambutan Hari Malaysia malam ini, Kerajaan bersetuju untuk memperluas kemudahan pemindahan kelayakan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).

Mulai 16 September 2026, pemilik berdaftar kenderaan diesel persendirian milik individu yang layak di bawah BUDI Diesel boleh memindahkan kelayakan kepada individu yang benar-benar menggunakan kenderaan tersebut. Sebelum ini, pemindahan kelayakan hanya dibenarkan kepada ahli keluarga terdekat.

Penerima yang diluluskan akan mendapat kelayakan bulanan sendiri yang boleh digunakan untuk membeli RON95 bersubsidi, diesel bersubsidi atau gabungan kedua-duanya.

Pemindahan kelayakan ini tidak melibatkan pertukaran hak milik kenderaan.

Penambahbaikan ini dibuat susulan maklum balas yang diterima oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, terutamanya daripada pengguna kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak, di mana urusan jual beli kenderaan secara “sambung bayar” dan pemilikan beberapa kenderaan diesel dalam sesebuah isi rumah lebih lazim.

Di bawah ketetapan baharu ini, dua penambahbaikan utama dilaksanakan:

1. PEMINDAHAN KELAYAKAN DIPERLUAS KEPADA PENGGUNA SEBENAR KENDERAAN

Pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan kepada mana-mana warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad sah dan layak menerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95), yang merupakan pengguna sebenar kenderaan yang ditetapkan.

Setelah permohonan diluluskan, penerima yang diluluskan boleh menggunakan MyKad sendiri untuk membeli diesel bersubsidi berdasarkan kenderaan diesel yang ditetapkan kepadanya.

Sebelum ini, kemudahan pemindahan hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat.

2. PEMILIK BEBERAPA KENDERAAN DIESEL BOLEH MEMINDAHKAN KELAYAKAN KEPADA MAKSIMUM TIGA INDIVIDU

Pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian boleh memindahkan kelayakan bulanan kenderaan tersebut kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada jumlah kenderaan diesel berdaftar. Pada masa yang sama, pemilik berdaftar masih mengekalkan kelayakan bulanan bagi kenderaan diesel persendirian yang belum dipindah untuk kegunaan sendiri.

Sebagai contoh, sekiranya Encik Alias mempunyai empat kenderaan diesel persendirian, beliau boleh memindahkan kelayakan bulanan kenderaan tersebut kepada pengguna sebenar kenderaan itu seperti isteri, anak dan pekerja beliau.

Encik Alias dan ketiga-tiga individu tersebut akan menerima kelayakan bulanan masing-masing berdasarkan jenis kenderaan yang digunakan.

Bagi kenderaan diesel persendirian jenis jip atau pikap yang layak, Encik Alias sebagai pemilik berdaftar kenderaan tersebut memohon tambahan 100 liter sebulan, tertakluk pada syarat yang ditetapkan sebelum permohonan pindah kelayakan dapat dibuat.

Bagi situasi di mana pemilik memindahkan ketiga-tiga kenderaan diesel yang dimiliki, pemilik berdaftar akan dapat menikmati subsidi BUDI95 sahaja.

Bagi setiap kenderaan yang layak, pemindahan hanya dibenarkan sekali. Setelah diluluskan, kelayakan tersebut tidak boleh dipindahkan semula kepada pemilik berdaftar atau kepada individu lain, kecuali dalam keadaan khusus yang ditetapkan.

Seorang penerima hanya boleh menerima pemindahan kelayakan daripada seorang pemilik berdaftar.

PERMOHONAN DIBUKA MULAI 16 SEPTEMBER 2026

Permohonan di bawah ketetapan baharu boleh dibuat mulai 16 September 2026 melalui Portal BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my,secara fizikal di mana-mana Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) atau mendapat maklumat lanjut serta bantuan di stesen minyak berdekatan.

Untuk membolehkan kelayakan digunakan mulai 1 hari bulan berikutnya, permohonan hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada 27 hari bulan semasa.

Sebagai contoh, permohonan yang dikemukakan selewat-lewatnya pada 27 September 2026 akan diproses untuk membolehkan kelayakan digunakan mulai 1 Oktober 2026, tertakluk pada semakan dan pengesahan data.

Permohonan yang dikemukakan seperti maklumat pemilik, penerima dan kenderaan yang dikemukakan akan disemak silang dengan rekod agensi berkaitan sebelum kelulusan diberikan.

Pemindahan kelayakan yang telah diluluskan sebelum 16 September 2026 kekal muktamad. Pemilik berdaftar yang mempunyai lebih dari satu kenderaan masih boleh mengemukakan permohonan baharu, tertakluk pada had maksimum tiga penerima pemindahan dan jumlah kenderaan diesel berdaftar.

Semua permohonan pemindahan yang masih belum selesai diproses setakat 15 September 2026 akan dikembalikan kepada pemohon.

Pemilik berdaftar yang masih ingin memindahkan kelayakan perlu mengemukakan permohonan baharu mulai 16 September 2026 berdasarkan ketetapan dasar yang baharu diumumkan ini.

Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel dan menambah baik mekanismenya berdasarkan keperluan semasa bagi memastikan subsidi bahan api disalurkan secara bersasar kepada rakyat Malaysia yang layak.

SUMBER:

Facebook Rasmi MOF


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI