
Menurut Tentera Udara Malaysia (TUDM):
TUDM akan melaksanakan Latihan Kelawar 2025 di sekitar kawasan Op PASIR Utara di daerah Kudat, Sabah yang meliputi Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan Tanjong Kapur bermula pada 21 sehingga 30 Julai 2025.
Tujuan latihan yang diadakan adalah untuk memperkasa kompetensi anak kapal pesawat helikopter TUDM dan Pasukan Khas ATM melalui operasi bersepadu dalam mempraktikkan taktik dan prosedur pada waktu malam. Selain itu, latihan juga bertujuan menilai keupayaan interoperability serta tahap kecekapan anak kapal pesawat helikopter TUDM bersama Pasukan Khas ATM beroperasi di Pangkalan Udara Hadapan (FOB) iaitu di kawasan Op PASIR Utara.
Untuk makluman orang ramai, sepanjang tempoh latihan dilaksanakan, pesawat-pesawat helikopter TUDM akan melakukan penerbangan taktikal pada altitud rendah dan pergerakan aset-aset maritim milik agensi penguatkuasa yang terlibat di kawasan-kawasan latihan yang telah digazetkan. Sebahagian besar latihan akan dilaksanakan pada waktu malam.
Sehubungan itu, pihak TUDM menyeru dan menasihatkan orang ramai agar tidak berasa panik dan cemas sekiranya melihat pesawat-pesawat berkenaan terbang pada altitud rendah atau melihat kehadiran aset-aset pertahanan di kawasan sekitar sepanjang tempoh latihan dilaksanakan.






