Pelajar UPM Bawa Anjing Bersiar-Siar Di Tempat Awam Tanpa Alasan?

TULAR:
1230

PENJELASAN :

Universiti Putra Malaysia (UPM) memperjelaskan laporan bahawa tiga wanita beragama Islam menyentuh dan membawa anjing bersiar-siar di tempat awam tanpa alasan, sepertimana yang hangat diperkatakan.

Sumber gambar: Facebook.

Menurut kenyataan rasmi dari Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM:

Universiti Putra Malaysia (UPM) ingin merujuk video yang ditularkan di Facebook pada 2 Julai 2018.

Tiga (3) orang wanita yang sedang membawa tiga (3) ekor anjing di dalam video tersebut adalah merupakan pelajar Doktor Perubatan Veterinar (DPV) UPM tahun pertama pengajian yang sedang menjalani latihan praktikal luar kampus selama seminggu mulai 2 hingga 8 Julai 2018 di PAWS Animal Welfare Society, Subang Selangor.

Latihan praktikal luar kampus ini adalah merupakan sebahagian daripada syarat keperluan pengajaran dan pembelajaran program DPV. Sepanjang lima (5) tahun pengajian program DPV di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) UPM pelajar akan mengikuti kuliah, amali, amalan klinikal dan makmal di Hospital Pengajaran Veterinar Universiti (UVH), Makmal Diagnosis dan Taman Pertanian Universiti (TPU) di kampus UPM Serdang. Pelajar juga akan terlibat dengan latihan praktikal luar kampus semasa cuti semester pengajian seawal tahun pertama pengajian samada di dalam mahupun di luar negara.

Ini bagi memastikan graduan DPV UPM berpengetahuan, kompeten dan mempunyai kemahiran insaniah yang cemerlang dalam memastikan kebajikan dan kesihatan haiwan, merawat, mengawal dan mencegah merebaknya penyakit pada haiwan dan manusia serta memastikan kecukupan makanan negara berasaskan sumber haiwan. Ianya melibatkan semua spesis haiwan samada yang kecil atau besar seperti kucing, anjing, babi, burung, ayam, lembu, rusa, ikan, gajah dan lain-lain haiwan. Keperluan ini adalah merupakan syarat bergraduat program DPV yang dikawal oleh Majlis Veterinar Malaysia.

Pelajar yang beragama Islam tidak terkecuali untuk mengendalikan pelbagai spesis haiwan tersebut. Pihak universiti sentiasa memastikan kebajikan para pelajar terpelihara termasuk menyediakan kemudahan menyamak setiap kali selesai sesi latihan. Sehubungan itu, paparan video tersebut bukan menggambarkan secara keseluruhan dakwaan orang ramai (netizen) mengenai isu menyentuh anjing oleh orang Islam yang ditularkan.

SUMBER :

Facebook Universiti Putra Malaysia

Sinar Harian

Astro Awani


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI