Merujuk kepada maklumat yang tular di media sosial yang mengajak rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai pengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin menegaskan bahawa pendaftaran pengundi 18 tahun belum dilaksanakan.
Pendaftaran pengundi 18 tahun akan dilaksanakan serentak dengan pendaftaran pemilih secara automatik setelah segala persiapan SPR diselesaikan termasuklah penyediaan pindaan kepada Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan standard operating procedures (SOP) serta penyediaan sistem dan infrastruktur. Kesemua persiapan ini dijangkakan selesai selewat-lewatnya pada bulan Julai 2021.
SPR dari semasa ke semasa akan mengeluarkan kenyataan media rasmi untuk sebarang perkembangan terkini dan menyeru kepada orang ramai untuk merujuk terlebih dahulu kepada SPR melalui laman rasmi www.spr.gov.my atau Facebook rasmi SPR atau menghubungi talian 03-8892 7200 bagi mengelakkan penularan berita palsu.