PENJELASAN:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Bahagian Hab Halal JAKIM memperjelaskan laporan berhubung penjualan produk Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar keluaran syarikat Sri Saga Marketing S/B.
Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan hasil pemantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan ke atas produk Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar keluaran syarikat Sri Saga Marketing S/B mendapati syarikat tersebut tidak wujud, di mana ini melanggar Seksyen 16, Akta Makanan 1983.
Di samping itu, hasil analisis mengesahkan ada di antara produk tersebut mengandungi dexamethasone dan prednisoloneiaitu bahan steroid yang dilarang di bawah Akta Makanan 1983. Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Sehubungan itu, KKM melarang penjualan JUS AL SUNNAH, JUS AL SUNNAH GOLD DAN JUS PENAWAR yang dikeluarkan oleh syarikat Sri Saga Marketing S/B. Semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.
Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk ini adalah disarankan supaya SEGERA mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan. Pengguna yang telah mengambil produk ini untuk jangkamasa yang lama digesa supaya TIDAK memberhentikan penggunaannya secara mendadak dan turut mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan. Ini kerana ini boleh menyebabkan masalah seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan (akibat withdrawal syndrome).
Dalam pada itu, Bahagian Hab Halal JAKIM turut memaklumkan melalui kenyataannya bahawa produk keluaran Syarikat Sri Saga Marketing S/B bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Justeru, penggunaan logo halal pada produk berkenaan juga adalah tidak sah dan melanggar Akta Perihal Dagangan 2011. Siasatan dan tindakan sedang dijalankan mengikut lunas dan prosedur peruntukan undang-undang yang berkaitan.
SUMBER:
Laman Rasmi KP Kesihatan Malaysia