Menurut kenyataan media Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM):
LHDNM ingin menafikan laporan dalam satu portal yang mendakwa empat juta data yang bocor diperolehi daripada laman sesawang LHDNM melalui Application Programming Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Sebagai makluman, LHDNM hanya merupakan pengguna dan bukannya pemilik kepada sistem myIDENTITY tersebut.
Siasatan dalaman telah dijalankan dan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa. LHDNM juga sedang bekerjasama dengan pihak JPN dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dakwaan ini.
LHDNM memberikan jaminan semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDNM adalah selamat kerana ia dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf.