PENJELASAN :
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan laporan bahawa ubat Paracetamol keluaran Royce Pharma dikatakan mengandungi alkohol sepertimana yang tular di media sosial.
Menurut KKM, pihaknya telah menetapkan spesifikasi bahawa produk paracetamol syrup 120mg/5ml yang dibekalkan adalah tidak mengandungi alkohol. Penilaian yang djalankan ke atas sampel yang dikemukakan semasa tawaran dibuat mendapati bahawa kandungan alkohol tidak dinyatakan pada label dan sisip bungkusan produk. Justeru, tawaran telah diberikan kepada produk yang dikeluarkan oleh syarikat Royce Pharma Sdn Bhd untuk membekalkan produk tersebut ke beberapa fasiliti KKM.
Namun begitu, siasatan lanjut mendapati bahawa produk tersebut sebenarnya didapati mengandungi alkohol tetapi tidak dinyatakan pada label dan sisip bungkusan. Syarikat telah didapati tidak mematuhi spesifikasi tawaran kerana gagal mematuhi pelabelan produk dan telah melanggar syarat pendaftaran. Pihak Kementerian telah mengarahkan agar syarikat memanggil balik semua produk yang tidak mematuhi syarat label daripada pasaran dan fasiliti yang terlibat.
Walaubagaimanapun, dimaklumkan bahawa produk tersebut telah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan didapati mematuhi keperluan kualiti, keselamatan dan keberkesanan. Orang awam tidak perlu bimbang kerana walaupun ia mengandungi alkohol dalam had yang dibenarkan, tiada isu keselamatan yang dilaporkan.
SUMBER :
Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia