PALSU:
Tular di media sosial dakwaan sebuah video klip mengenai “tiga (3) sebab kenapa anda perlu henti memakan ikan tilapia” yang akan meningkatkan risiko keradangan, mengandungi bahan pencemar karsinogenik penyebab kanser dan terdedah kepada antibiotik dan racun perosak.
SEBENARNYA:
Menurut kenyataan rasmi Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) :
Untuk makluman, DOF telah melaksanakan pemantauan di peringkat ladang di bawah Aqualculture Residue Monitoring Program (ARMP) dan Sanitary and Phytosanitary (SPS Aquacluture), dan mendapati TIADA penggunaan makanan ikan yang dicampur dengan hormon dan agen penggalak tumbesaran diamalkan dalam industri ternakan ikan di Malaysia. Sehingga kini, sebanyak 1,059 ladang ternakan di seluruh Malaysia telah dipantau bagi memastikan ikan dan hasilan ikan bebas daripada kesan pencemaran dan selamat untuk dimakan.
Walau bagaimanapun, di luar negara, penggunaan protein tumbuhan seperti soya dan jagung yang diubahsuai secara genetik ataupun GM (genetically modified) untuk menggantikan sumber protein fishmeal telah mendapat kelulusan pihak berkuasa Norway dan Kesatuan Eropah sejak 20 tahun lalu.
Tiada laporan secara spesifik berkaitan kesan negatif kepada manusia yang memakan ikan tilapia yang diberi pellet yang mengandungi GM soya/jagung oleh FAO, WHO, FAO, CODEX, USFDA. Untuk makluman, ternakan lembu juga diberi makanan berasal daripada GM jagung. Emping jagung komersial yang dimakan oleh ribuan manusia setiap hari juga dibuat menggunakan GM jagung.
Tiada kajian spesifik dan laporan khusus dari organisasi yang bertanggungjawab terhadap kesihatan awam seperti WHO, FAO, CODEX, USFDA, dan EU mengenai dakwaan ikan tilapia akan meningkatkan risiko keradangan serta hubungkait antara memakan tilapia dengan penyakit-penyakit seperti yang dinyatakan.
Penggunaan antibiotik dan pestisid adalah dilarang dalam industri ternakan akuakultur di Malaysia yang mana di bawah Peraturan Perikanan Akuakultur (Darat) 2017 (WP Kuala Lumpur dan WP Labuan) menyatakan bahawa penggunaan bahan residu terlarang seperti antibiotik, hormon dan agen penggalak adalah tidak dibenarkan.
Penternak ikan tilapia di negara ini mengamalkan kaedah ternakan yang baik selaras dengan garis panduan Amalan Akuakultur Baik (GAqP) yang dikeluarkan oleh DOF. Penternak tempatan menggunakan sepenuhnya makanan pellet ikan dan sebahagian besarnya mengamalkan kaedah ternakan di perairan yang baik seperti di Sungai Pahang, Tasik Banding, dan Sungai Como.