PALSU:
Tular di media sosial dakwaan bahawa seorang warga emas telah ditikam dan dirompak selepas selesai mengambil wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di sebuah bank di Semporna.
SEBENARNYA:
Menurut Ketua Polis Daerah Semporna, Supt. Peter Umbuas, dakwaan lelaki ditikam selepas mengambil BR1M adalah tidak benar, dan siasatan polis mendapati berita itu berkait dengan kejadian seorang lelaki berusia 20-an yang ditemui dalam keadaan pergelangan tangannya dikelar di hadapan bank berkenaan.
“Kejadian berlaku 11 pagi dan orang awam yang nampak seorang lelaki terbaring di pekarangan bank tersebut telah memanggil anggota polis trafik yang kebetulan meronda di kawasan itu untuk membantu.”
Lelaki tersebut yang dipercayai kurang siuman telah bertindak mengelar tangannya sendiri menggunakan senjata tajam di hadapan bank tersebut, dan dia kemudiannya dibawa ke Hospital Semporna untuk menerima rawatan.
SUMBER:
Facebook Polis Diraja Malaysia