WASPADA:
Orang ramai khususnya penduduk di sekitar negeri Selangor (Daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam) dinasihatkan supaya berwaspada dengan fenomena air laut pasang besar yang diramalkan akan berlaku bermula 9 Oktober sehingga 11 Oktober 2018.
Menurut kenyataan rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor:
Adalah dimaklumkan, berdasarkan jadual pasang surut air laut bagi Pelabuhan Klang pada 9 Oktober sehingga 11 Oktober 2018, paras air laut diramalkan akan berada pada paras yang tertinggi. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan persediaan menghadapi bencana tahap tinggi dilaksanakan melibatkan Daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Fenomena air laut pasang besar diramalkan akan berlaku bermula 9 Oktober 2018 sehingga 11 Oktober 2018 di persisiran pantai Negeri Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.6 meter. Selain itu juga, Negeri Selangor diramalkan menerima hujan pada paras tertinggi berdasarkan maklumat daripada Pejabat Meteorologi Malaysia sepanjang bulan Oktober 2018. Sekiranya cuaca hujan lebat dan keadaan angin kencang berlaku pada masa yang sama, risiko berlakunya banjir akan meningkat.
Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor menasihatkan agar penduduk di kawasan berisiko dapat mematuhi arahan Pihak Berkuasa Keselamatan dari masa ke masa.
SUMBER:
Portal Rasmi Kerajaan Negeri Selangor