Menurut Kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC):
MCMC ingin mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dengan panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai MCMC.
Saranan ini dibuat susulan peningkatan kes yang diterima oleh MCMC sejak tempoh seminggu yang lalu. Modus operandi panggilan yang diterima bermatlamat memperdaya mangsa bagi tujuan tertentu. Pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai pegawai MCMC dan memaklumkan bahawa nombor telefon mangsa telah terbabit dalam kegiatan jenayah. Namun, sekiranya mangsa gagal mengikut arahan yang diberikan, talian tersebut akan disekat atau disenarai hitam.
Justeru, MCMC menggesa orang ramai untuk tidak terpedaya dengan panggilan sedemikian oleh pihak yang tidak dikenali.
Orang ramai disarankan untuk membuat tetapan sekatan ke atas nombor telefon pemanggil (block call/reject list) atau mendapatkan perisian atau aplikasi bagi menyekat kemasukan panggilan atau SMS ke talian telefon yang dimiliki.
Sekiranya menerima panggilan-panggilan mencurigakan, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC di talian 997).